Khasiat Buah Zaitun
Allah
s.w.t menyebut dalam beberapa ayat mengenai buah zaitun, iaitu dalam
surah al-Tiin: "Demi buah tin dan zaitun," dan dalam surah an-Nur ayat
35, disebut mengenai minyak zaitun yang penuh berkat, iaitu "Lampu
itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang berkat (atau banyak
manfaatnya iaitu) pokok zaitun."
Demikianlah, buah zaitun
disebut dalam al-Quran yang tentunya mempunyai keistimewaan
tersendiri. Dalam al-Quran, buah zaitun disebut sebanyak tujuh kali;
dua kali disebut zaitun bersendirian, lima kali disebut berserta dengan
buah-buahan lain, antaranya tamar, delima, anggur dan buah tin. Ini
menunjukkan tentu ada banyak kelebihan atau khasiat buah zaitun yang
Allah s.w.t kurniakan, bagi faedah dan kebaikan kepada manusia. Buah
zaitun nama botaninya disebut olea europea
banyak ditanam di kawasan Mediterranean dan tempat pernanamannya yang
utama ialah di Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Minyak
zaitun atau olive oil adalah hasil perahan daripada buah zaitun.
Dalam
surah al-Nur ayat 35, Allah menyebut tentang buah zaitun, yang mana
para ulama memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada
tempat dan taburan penanaman buah zaitun.
Dalam kitab Sunan
al-Tarmizi dan Ibnu Majah, terdapat sebuah hadith daripada Abdullah bin
Umar yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Makanlah kamu
minyak zaitun dan gunakanlah ia sebagai minyak rambut, kerana minyak
zaitun dibuat daripada pohon yang penuh berkat."
Begitu juga
hadith riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar,
Rasulullah s.a.w bersabda: "Gunakanlah minyak zaitun sebagai lauk
sekali gus minyak rambut kerana ia berasal dari pohon yang diberkati."
Minyak
zaitun bersifat lembap pada peringkat pertama. Justeru, ada yang
mengatakan ia bersifat kering adalah tidak benar. Teksturnya bergantung
pada kandungan minyaknya. Minyak yang dihasilkan daripada buah zaitun
yang sudah masak adalah yang paling elok dan paling stabil. Manakala
yang dihasilkan daripada buah yang mentah pula cenderung bersifat sejuk
dan kering.
Minyak yang dihasilkan daripada buah zaitun merah
mempunyai kualiti sederhana. Minyak yang diperbuat daripada buah
zaitun yang berwarna hitam mampu memberikan kehangatan sekali gus
kelembapan dengan stabil.
Antara khasiat minyak zaitun, ia
boleh mengatasi racun, melapangkan perut dan mengeluarkan cacing.
Minyak zaitun mengandungi vitamin E dan vitamin K yang baik untuk
kesihatan kulit terutamanya untuk rawatan kecantikan wanita. Jika
diperah dengan campuran air, panasnya berkurang, lebih lembut, dan
lebih berkhasiat.
Zaitun boleh menghaluskan kulit dan
melambatkan pertumbuhan uban. Dengan menggunakan minyak zaitun setiap
hari, rambut dan kulit bersinar. Kegunaan untuk tubuh adalah lazimnya
disapu setiap kali selepas mandi pada permukaan tubuh. Minyak zaitun
mudah meresap, sehingga tidak perlu bimbang ia melekit.
Jus
zaitun yang dicampur garam boleh menguatkan gusi. Daunnya boleh
meredakan dan merawat demam, kesemutan, kudis dan mencegah peluh
berlebihan.
Dari Sudut Saintifik
Dunia moden pada hari ini, melalui kajian-kajian sains, tidak dinafikan banyak yang mengiktiraf khasiat buah zaitun.
Minyak
zaitun adalah antara minyak yang bernilai tinggi dalam bidang
kesihatan. Selain minyak zaitun bertindak sebagai penambah zat
makanan, ia juga bertindak mencuci dan membaik pulih perut dan penawar
racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami
kegagalan fungsi buah pinggang.
Minyak zaitun juga boleh
diambil sebagai sapuan luaran, selain bertindak sebagai pelicin, ia
sebagai pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis.
Menurut
al-Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi s.a.w bersabda, "Makanlah minyak
zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang
diberkati."
Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak
zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagao
"monounsaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya dalam
darah. Satu kajian yang dijalankan oleh pakar kesihatan di Institut
Sains Kesihatan, Universiti Oxford, mengkaji perkaitan antara kanser
dan pemakanan seseorang.
Didapati bahawa negara yang mengamalkan
pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan
sayur-sayuran, mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi
tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut.
Dalam Annals of Oncology (Januari
2005), pakar-pakar sains mendapati diet Mediterranean yang kaya
dengan minyak zaitun boleh mengurangkan risiko seseorang mendapat
kanser payudara kerana kandungan oleic acid yang terdapat di dalamnya.
Khasiat Minyak Zaitun
Menurut
ImamIbn Qayyim al-Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung
kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik
adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak,
manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat
sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum lebih cenderung
menjadi panas dan mengurai.
Oleh sebab itu, jika ia diproses
menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan
lembut dan lebih berkhasiat. Walau bagaimanapun semua jenis minyak
zaitun boleh melembutkan kulit serta melambatkan penuaan.
Minyak zaitun boleh melawan racun dalam badan dengan bertindak sebagai laxative
dan menyingkir cacing di dalam badan. Pengambilan minyak zaitun amat
bermanfaat untuk mencegah penyakit jantung. Minyak zaitun banyak
digunakan sebagai bahan asas produk kecantikan dan ramuan kosmetik.
Minyak zaitun juga boleh digunakan sebagai minyak masak. Walaupun banyak
berpendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng
menggunakan minyak zaitun tidak sesedap makanan yang digoreng dengan
menggunakan minyak sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut
kesihatan.
Minyak masak selain yang berasaskan zaitun jika
digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan
menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat
apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan
bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan
berulang kali dan tidak mengalami proses pengoksidaan serta tidak akan
berubah dari segi warna dan bau.
Melihat pada keadaan dan tahap
kesihatan umum terkini, penyakit jantung yang dikatakan sebagai
pembunuh secara senyap boleh dikurangkan. Pengambilan minyak zaitun
boleh mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan phenol. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi dan mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah.
Pada
hari ini, produk berasaskan buah zaitun telah banyak dihasilkan
dengan dipelbagaikan produknya dengan teknologi terkini, antaranya
sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut,
barangan kecantikan, sabun dan juga sebagai makanan tambahan.
Abu
Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Ambillah minyak
zaitun dan sapu ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa)
penyakit dan juga juzam (kusta)."
Justeru,
khasiat buah zaitun merupakan anugerah Allah yang amat bernilai untuk
dimanfaatkan kerana bukan sahaja ia disebut dalam al-quran malah
pakar-pakar sains juga mengiktiraf keistimewaannya.
Sumber: Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif - Majalah Solusi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan